SEJARAH BUKIT BESI...........

Rabu, 5 Ogos 2009

SEJARAH BUKIT BESI(CERITA RAKYAT)

Bagaimana Bukit Besi mendapat nama? Ada pendapat menyatakan, ceritanya bermula dengan penemuan beberapa orang penduduk setempat yang masuk ke hutan untuk mencari rotan. Ketika dalam perjalanan mereka berhenti rehat dan ingin menikmati bekal yang dibawa. Salah seorang daripada mereka ternampak seketul batu sederhana besar dan sesuai dijadikan lapik duduk. Beliau lalu mengambil keputusan untuk mengangkat batu tersebut. Walau bagaimanapun, niatnya terpaksa dibatalkan apabila batu tersebut ternyata sangat berat. Ada yang cuba untuk mengangkat batu tersebut namun tetap juga gagal. Maka salah seorang daripada mereka mencadangkan menamakan tempat tersebut dengan nama Bukit Besi dan ia kekal sehingga ke hari ini.(SUMBER DIPEROLEHI DARI BUKU SEJARAH BUKIT BESI)


SEJARAH PERLOMBONGAN BIJI BESI
Manakala sejarah perlombongan pula bermula begini. Kegiatan perlombongan bijih besi di Bukit Besi bermula apabila seorang ahli kajibumi dari Jepun, Mr. Kuhara datang ke Cemuak, Ulu Dungun pada tahun 1916 dan mendapati terdapat kandungan bijih besi dengan jumlah yang besar di kawasan tersebut. Di zaman permulaan, bijih besi diangkut dengan kereta tolak daripada Bukit Besi ke kampung. Dendang. Kemudian ia dibawa ke Dungun menggunakan bot. Syarikat Kuhara Mining Ltd telah menjalankan kegiatan melombong bijih secara tidak rasmi semenjak 1927. Ia kemudian ditukar nama kepada Nippon Mining Company (NMC).'Mining Lease' telah dikeluarkan dengan rasmi oleh Kerajaan Terengganu kepada NMC pada 13.1.1929. Kawasan tersebut seluas 1080 ekar, terdiri daripada M.L. 129, M.L. 130, M.L. 131 dan M.L. 132 adalah pecahan daripada M.L. 75, iaitu kawasan yang telah dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada seorang kerabatnya, Tengku Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil. Pada tahun 1930, laluan keretapi Dungun - Bukit Besi telah dapat disiapkan di stesen Che' Lijah. 'Stock Pile' atau Tempat Memunggah Bijih yang pertama juga adalah di Kampung Che' Lijah. Dari situ bijih-bijih besi dimuatkan ke dalam bot untuk dibawa ke Kuala Dungun. Tahun 1935, jumlah penduduk di Bukit Besi telah meningkat sehingga 6,000 orang (termasuk 3,000 pekerja). Pendapatan penduduk Bukit Besi pada masa itu sangat mewah. Perkhidmatan awam seperti bekalan air, elektrik, keretapi juga disediakan secara percuma. Sebuah terowong yang dikenali sebagai Bukit Tebuk telah dapat disiapkan dalam tahun 1936. Perjalanan melalui Bukit Tebuk dapat menjimatkan masa. Oleh itu tempat memunggah bijih dari Che Lijah telah dipindahkan ke Nibong, dan akhirnya dipindahkan pula ke Sura. Pengeluaran bijih besi oleh NMC ini mencapai kemuncaknya antara 1936 - 1940. Selepas itu ia mula menurun dan berakhir pada tahun 1945, iaitu selepas Jepun menyerah kalah kepada British dalam Perang Dunia ke II. Tiada aktiviti perlombongan yang dijalankan sekitar 1946 - 1949 kerana keadaan darurat dan tiada permintaan. Kerajaan British telah menjual harta lombong Bukit Besi kepada Eastern Mining and Metal Company (EMMCO). EMMCO telah memulakan kegiatannya secara besar-besaran di awal 1950an, kerana permintaan yang tinggi dari syarikat-syarikat di Jepun. Untuk mendapatkan keuntungan besar dalam masa yang singkat, EMMCO telah menggandakan pengeluaran bijih. Aktiviti pengeluaran dijalankan 24 jam sehari tanpa henti, kecuali hari Jumaat. Jentera-jentera moden juga telah digunakan dalam proses pemecahan batu-batu bijih. Dengan ini pihak syarikat telah berjaya meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan bijih besi yang lebih bermutu, di samping mengaut keuntungan yang berlipat ganda.Kemuncak pengeluaran ialah antara 1960 - 1964 di mana jumlah pengeluaran melebihi 2,000,000 tan setahun. Pada 1 Oktober 1970, Lembaga Pengarah EMMCO telah membuat keputusan muktamad untuk menutup lombong Bukit Besi. Terdapat berbagai faktor yang menyebabkan penutupan ini, walaupun kandungan bijih besi dipercayai masih terdapat dengan banyak lagi. Penutupan lombong bijih besi ini telah mempengaruhi ekonomi dan kehidupan penduduk-penduduk Bukit Besi dan Dungun. Ramai daripada mereka telah berhijrah ke tempat-tempat lain untuk mendapatkan pekerjaan baru.

0 Comments: